Dunia  

SPRM periksa rumah Isa Samad di Selangor

Loading...

KOTA BHARU, Menitone.com – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan pemeriksaan di rumah bekas Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Berhad Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Selangor malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata pemeriksaan itu adalah proses biasa yang dilakukan oleh agensi terbabit selepas menahan seseorang individu berhubung dakwaan rasuah.

“Itu proses biasa… lepas tangkap (tahan), kita akan buat pemeriksaan di rumah (suspek),” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kelantan anjuran Pemerhati Rasuah Malaysia di sini, malam tadi.

Loading...

Kira-kira 250 aktivis menyertai majlis berkenaan.

Dzulkifli berkata SPRM juga akan memohon perintah reman terhadap Isa di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Isa, yang kini Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ditahan SPRM semasa hadir untuk membantu siasatan berhubung kes pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching, di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang Selasa.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Selepas itu, SPRM menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, juga dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu kerugian besar.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata SPRM akan memfailkan semula rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh, yang dibatalkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin.

“Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk memfailkan rayuan bagi pihak pendakwaan pada esok (Rabu) atau lusa,” katanya.

sumber: bernama

Loading...

Comment

Silahkan nonaktifkan adblock anda untuk membaca konten kami.
Segarkan